Nur Izzati Mohamad

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang melupuskan pelbagai barangan bernilai RM450,000 membabitkan 29 kes yang diselesaikan.

Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, barangan rampasan dari 2017 itu membabitkan dompet, beg tangan, produk makanan dan barangan kulit tiruan yang akan dilupuskan setiap bulan selepas kes berkenaan selesai dijatuhkan hukuman.

“Bulan lalu, kita melupuskan pelbagai barangan dengan jumlah RM315,872 dan bulan ini kita melupuskan barangan bernilai RM14,160 membabitkan kes di daerah Seberang Perai Tengah dan RM120,000 di Timur Laut menjadikan keseluruhan barangan dilupus berjumlah RM450,000 setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media siri pelupusan barangan berkenaan di Kompleks Penyimpanan Stor Eksihibit KPDNHEP negeri, Bukit Minyak, hari ini.

Katanya, semua barangan kes yang dilupuskan itu adalah rampasan menyalahi Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987.

Sementara itu, Mohd Ridzuan berkata, berhubung produk makanan yang dirampas pihaknya tidak dapat menyalurkan barangan berkenaan untuk tujuan sumbangan memandangkan ada yang sudah tamat tempoh dan berada dalam kualiti kurang memuaskan.

“Kita tahu di negeri ini ada program “Food Bank” dan jika boleh ingin bekerjasama namun perlu melihat dahulu produk-produk makanan ini.

“Ini kerana tidak semua barangan dirampas kualitinya elok bahkan juga ada yang sudah tamat tempoh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 11:04 PM
Mohd Ridzuan (kanan) bersama Ketua Bahagian Penguatkuasa KPDNKK Pulau Pinang, Sapiah Mohd Nor (dua dari kanan) menunjukkan antara barangan kes yang selesai di mahkamah untuk dilupuskan. FOTO Ramdzan Masiam