FOTO Hiasan
Mohd Sabran Md Sani

PUNTUNG rokok yang dibuang merata di kawasan mempunyai bahan mudah terbakar dikenalpasti menjadi antara tiga faktor penyumbang kepada kebakaran di Johor.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, selain itu aktiviti kebakaran tidak disengajakan itu turut dipengaruhi kebakaran tidak dikawal dan pembersihan kawasan ladang.

“Didapati tiga faktor penyumbang kebakaran membabitkan kebakaran termasuk aktiviti pembakaran yang tidak dikawal dan pembersihan kawasan atau ladang.

“Bahkan kebakaran tidak disengajakan seperti pembuangan puntung rokok dan bahan mudah bakar di kawasan yang mempunyai bahan mudah terbakar seperti kumpulan rumput dan daun kering menyumbang statistik kebakaran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 1,443 kes kebakaran terbuka dilaporkan berlaku di seluruh negeri ini direkodkan berlaku sejak awal tahun hingga 26 Februari lalu.

“Daripada jumlah kebakaran terbuka itu, kebakaran belukar merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 879 kes, diikuti kebakaran sampah (235 kes), kebun (188) dan hutan (141).

“Pada tahun lalu, kebakaran belukar merekodkan jumlah tertinggi iaitu 1,604 kes, sampah (506 kes), kebun atau ladang (274 kes) dan hutan (226 kes),” katanya.

Beliau berkata, mengikut statistik kebakaran terbuka direkodkan sehingga 26 Februari lalu membabitkan kawasan seluas 824.83 hektar.

“Sepanjang tahun lalu, kebakaran terbuka merekodkan di kawasan seluas 46,677.86 hektar dan pada tahun 2017 pula seluas 58,979.47 hektar,” katanya.

Katanya, Johor Bahru, Kluang dan Muar merekodkan lokasi tertinggi menerima laporan kebakaran terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 11:34 AM