ANTARA warga asing yang ditahan dalam Ops Bersepadu di Alor Setar. FOTO ihsan Jabatan Imigresen
Zuliaty Zulkiffli

LAPAN lelaki dan seorang wanita warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam Ops Bersepadu di premis perniagaan dan tapak pembinaan di bandar raya Alor Setar, semalam.

Dalam operasi 3.15 petang itu, 185 warga asing pelbagai negara diperiksa dan daripada jumlah itu hanya sembilan daripada mereka ditahan.

Pengarah JIM Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, operasi dilakukan berdasarkan maklumat orang ramai dan hasil risikan yang dilakukan.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada warga Myanmar dan Bangladesh berusia 22 hingga 43 tahun.

“Siasatan awal mendapati bahawa mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1958/63 (Akta 155) iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Selain itu, kes disiasat mengikut Perkara 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zuhair berkata, mereka ditahan di lokap Imigresen,Bangunan Kementerian Dalam Negeri,Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imigresen Belantik, Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 11:49 AM