JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mensasarkan pertambahan sebanyak 27 peratus atau RM7 bilion bagi kutipan duti dan cukai untuk rokok serta minuman keras pada tahun ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk T Subromaniam berkata, kutipan duti dan cukai untuk rokok serta minuman keras bagi 2018 pula adalah sebanyak RM5.5 bilion.

“Untuk tempoh dua bulan pertama tahun ini, hasil kutipan cukai untuk minuman keras meningkat sebanyak 30 peratus. Jabatan yakin kutipan hasil ini akan terus meningkat pada bulan berikutnya.

“Manakala, kutipan cukai untuk rokok pula belum menunjukkan peningkatan yang ketara dan jabatan yakin dalam masa akan datang ia akan menunjukkan peningkatan dan ini berdasarkan kepada ‘flowback’,” katanya ketika sidang media, hari ini.


KETUA Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri T Subromaniam ketika sidang media berkenaan kejayaan Kastam membanteras penyeludupan rokok dan minuman keras. FOTO Sairien Nafis

Beliau berkata, peningkatan kutipan cukai bagi kedua-dua barangan berkenaan adalah hasil dari aktiviti penguatkuasaan yang lebih ketat dan pelaksanaan pindaan undang-undang yang dikuatkuasakan.

“Daripada aspek penguatkuasaan, untuk tempoh dua bulan pertama tahun ini, sejumlah 325 kes berjaya direkodkan membabitkan rokok dan minuman keras.

“Sejumlah hampir 100 batang rokok dan 228,000 liter minuman keras dirampas yang mana membabitkan nilai dan cukai berjumlah lebih RM100 juta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 12:31 PM