SEBAHAGIAN 90 jemaah menunaikan sunat Istisqa memohon hujan di Empangan Bukit Malut, Langkawi. FOTO Ihsan Taliworks Langkawi
Hamzah Osman


SERAMAI 90 jemaah menunaikan solat sunat Istisqa di Empangan Bukit Malut, Langkawi, memohon hujan berikutan cuaca panas dan air sungai menyusut di pulau ini.

Solat sunat bermula 9.30 pagi itu diimamkan Imam Masjid Nurul Ehsan Kampung Bukit Malut, Abdullah Muhamad.

Solat sunat anjuran syarikat Taliworks Langkawi Sdn Bhd (Taliworks Langkawi) itu turut disertai pelajar Madrasah Tahfiz al-Quran al-Marjan dan kakitangan Taliworks Langkawi.

Turut hadir, Pengurus Wilayah Taliworks Langkawi, Amaran Abu Bakar dan Pengurus Kanan Taliworks Langkawi, Hasbullah Hussin.

Sementara itu, Amaran berkata, solat sunat itu adalah jalan memohon kepada Allah SWT supaya diturunkan hujan berikutan cuaca panas melanda negara ketika ini.

"Usaha ini juga kita pernah lakukan berikutan musim kemarau pada 2016, selain usaha pembenihan awam yang menghasilkan kejayaan selepas itu.

"Ketika ini paras air sungai di Langkawi menunjukkan penurunan sebanyak 10 peratus dan penggunaan air bersih secara berhemah dapat mengelak isu bekalan air di pulau ini menjadi lebih kritikal," katanya.

Jumaat lalu, Syarikat Air Darul Aman (SADA) menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook rasmi syarikat itu memaklumkan beberapa kawasan di pulau ini mengalami masalah gangguan bekalan air.

Ia berikutan kekurangan air mentah dari sungai untuk dibekalkan ke dua Loji Rawatan Air (LRA), di sini.

Menurut kenyataan itu, LRA yang terjejas ialah Padang Saga Dua dan Padang Saga Tiga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 2:11 PM