Inkues Muhammad Adib akan disambung semula esok. FOTO Arkib NSTP.
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli


PROSIDING inkues bagi menentukan penyebab kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang sepatutnya berlangsung di Mahkamah Koroner di Shah Alam, hari ini ditangguh hingga esok.

Ini berikutan, peguam Syazlin Mansoor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengalami masalah kesihatan.

Perkara itu dimaklumkan peguam mewakili keluarga Muhammad Adib, Kamaruzaman A Wahab ketika prosiding sambung inkues itu di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Dalam prosiding itu, Pegawai Pengendali Hamdan Hamid tidak membantah dengan permohonan Kamaruzaman dan Rofiah kemudian membenarkan permohonan penangguhan berkenaan.

“Memandangkan perkara sebegini tidak dapat dielakkan dan Syazlin seorang sahaja peguam yang mewakili JPBM, justeru inkues ditangguhkan hari ini dan bersambung semula esok,” katanya.

Sepatutnya, pada prosiding hari ini, dua saksi iaitu orang awam yang berada di tempat kejadian dan pegawai perubatan dari Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) akan memberikan keterangan.

Inkues Muhammad Adib sudah berjalan selama 12 hari dengan seramai 18 saksi hadir memberi keterangan.

Muhammad Adib yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 2:56 PM