Calon PH, Muhammad Aiman (gambar arkib NSTP). FOTO Asyraf Hamzah
Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid


BERBAKI kurang 48 jam tempoh kempen, Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali memecut ‘gear lima’ mendekati lebih ramai pengundi.

Jurutera berusia 30 tahun itu berkata, dia berpuas hati dengan sokongan pemimpin dan jentera kempen yang sentiasa memberinya motivasi sepanjang dua minggu ini.

“Kita dah melawat semua semua pusat daerah mengundi (PDM) dan kini akan membuat sentuhan akhir pada pusingan kedua.

“Kita pecut gear lima, kalau ada gear enam pun kita guna gear enam untuk pastikan semua pengundi didekati,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program demonstrasi membuat kek brownies di Pusat Komuniti Kampung Baru Cina, Semenyih, hari ini.

Hadir sama Naib Presiden PKR merangkap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Mengulas lanjut, Aiman yang juga Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Hulu Langat berkata, beliau juga tidak peduli dengan sebarang kritikan netizen, malah menganggapnya sebagai motivasi untuk menguatkan semangat berkempen.

“Saya anggap semua kritikan itu sebagai gurauan dan pembakar semangat untuk berkempen,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 3:15 PM