ANGGOTA bomba memadam kebakaran terbuka di ladang kelapa sawit di Jalan Penawar ke Punggai, Pengerang. FOTO Ihsan Bomba Dan Penyelamat
Nurul Amanina Suhaini


JABATAN Bomba dan Penyelamat Johor berdepan tugas getir apabila perlu memadamkan kebakaran membabitkan ladang kelapa sawit seluas 71.63 hektar hektar, sejak tujuh hari lalu.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail berkata, ladang dekat Jalan Penawar ke Punggai, Pengerang, Kota Tinggi yang terbakar itu dikatakan baru saja dibuka.

Menurut beliau, pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran terbuka di ladang bagi projek tanaman kelapa sawit itu sejak 21 Februari lalu.

Katanya, sehingga kini, operasi masih belum ditamatkan sepenuhnya berikutan faktor persekitaran dan keadaan cuaca yang panas.

“Kami menerima panggilan kecemasan kira-kira 8.47 pagi sebelum menggerakkan seramai 11 anggota bomba secara harian, selain mendapat kerjasama 28 pekerja ladang, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) Pengerang.

“Berdasarkan makluman awal, kebakaran di ladang dengan keluasan keseluruhan 445.15 hektar sudah berlaku dua kali Februari ini berikutan cuaca panas, selain terdapat kayu kering di sekitarnya.

“Bomba hanya mengalami kesukaran mendapatkan punca air, selain operasi pemadaman menggunakan peralatan khas bagi kebakaran hutan, ‘forest fire’ membabitkan sebuah jentera dengan tiga kenderaan pacuan empat roda,” katanya kepada wartawan Harian Metro, hari ini.

Mohd Fadli berkata, jarak antara lokasi kebakaran dengan kediaman penduduk kira-kira 10 kilometer, selain punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

“Untuk makluman kes kebakaran tanah gambut mengambil masa yang lama kerana lapisan kebakaran yang bertingkat di dalam tanah.

“Kebiasaannya mengambil masa lebih kurang dua minggu atau lebih, malah pernah berlaku sehingga dua bulan.

“Pada masa sama, masyarakat dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka.

“Orang ramai diminta memberi kerjasama untuk memadam kebakaran kecil dan melaporkan kepada bomba sekiranya terdapat berlaku kebakaran terbuka di kawasan mereka,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, sejak awal tahun sehingga 26 Februari lalu, laporan kebakaran yang diterima pihaknya membabitkan 141 kes bagi hutan, belukar (879), kebun (188) dan sampah (235).

Menurutnya, sepanjang 2018, jumlah kebakaran terbuka yang diterima berjumlah 226 kes membabitkan hutan, kebun/ladang (274), belukar (1,604) dan sampah (506), berbanding sepanjang tahun sebelumnya, jumlah kebakaran terbuka yang diterima berjumlah 89 kes membabitkan hutan, kebun/ladang (83), belukar (868) dan sampah (360).

Katanya, daerah tertinggi kebakaran terbuka membabitkan Johor Bahru, Kluang dan Muar, iaitu membabitkan keluasan berjumlah 824.83 hektar sejak awal tahun sehingga 26 Februari lalu.

Dalam perkembangan lain, sebuah kebun di Parit Haji Ramli, Air Papan Tengah, di Mersing dengan keluasan 4.05 hektar terbakar, sejak Isnin lalu.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, Penguasa Bomba Soleh Nasir berkata, purata kekuatan anggota bomba secara harian lima orang dengan bantuan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Mersing.

“Operasi masih belum ditamatkan, bagaimanapun, keluasan (kawasan terbakar) yang berjaya dipadamkan membabitkan 2.83 hektar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 4:00 PM