Ibu bayi lelaki ini dicari JKM. Foto Ihsan JKM
Mary Victoria Dass


MASA depan bayi lelaki menjadi tanda tanya apabila ibunya bertindak menghilangkan diri selepas melahirkannya di Hospital Sultanah Aminah (HSA) 5 Februari lalu.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Normawarni Mahat berkata, kejadian berlaku selepas ibu bayi itu yang berada di wad berasingan daripada bayinya menghilangkan diri.

“Ibu itu diletakkan di wad berasingan sementara selepas bersalin bagaimanapun dia didapati menghilangkan diri oleh kakitangan bertugas ketika itu,” katanya.

Katanya, sukar menjejaki wanita itu kerana dia tidak membawa dokumen pengenalan diri

“Ketika berdaftar dengan hospital, ibu bayi itu tidak membawa kad pengenalan dan hanya memberi maklumat secara lisan.

“Mengikut maklumat diberikan, namanya Arniza Hussin berusia 38 tahun dan JKM cuba mengesan Arniza mengikut tiga alamat diperoleh di sekitar bandar raya ini namun gagal menjejakinya,” katanya.

Normawarni berkata, JKM juga membuat permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 18 Februari lalu bagi mendapatkan maklumat salasilah keluarga ibu kandung dan permohonan berkenaan masih dalam proses semakan.

“Bayi itu ditempatkan sementara di institusi JKM menerusi perintah mahkamah dan bayi berusia 23 hari itu dalam keadaan sihat.

“Kami berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan waris bayi berkenaan menghubungi talian 07-2232606,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 4:44 PM