AHMAD Shukri (kanan) bersama Abdul Hakim ketika pelancaran Skim Kafalah Muzakki. FOTO Amirudin Sahib
Mohamad Hussin


PUSAT Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan Skim Kafalah Muzakki bertujuan meringankan beban waris apabila berlaku kematian terhadap pembayar zakat (individu).

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, menerusi skim ini, sumbangan RM3,000 akan diberikan kepada waris dan ini satu inisiatif pihaknya kepada pembayar zakat yang setia menunaikan kewajipan berzakat di agensi berkenaan.

Beliau berkata, PPZ-MAIWP adalah agensi zakat pertama di negara ini yang memberikan skim perlindungan kepada pembayar zakat mereka.

“Sumbangan RM3,000 akan diberikan kepada waris dalam tempoh 14 hari bekerja selepas permohonan dibuat di mana-mana kaunter PPZ-MAIWP, enam bulan dari tarikh kematian.

“Mereka yang membayar zakat minimum RM50 setahun layak menerima bantuan ini, dan pembayar zakat perlu mempunyai rekod bayaran zakat kecuali zakat fitrah di PPZ-MAIWP pada tahun kematian atau sebelum tahun kematiannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis Pelancaran Skim Kafalah Muzakki di Wisma PPZ-MAIWP, di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Abdul Hakim Amir Osman.

Ahmad Shukri berkata, waris yang layak menerima bantuan ini ialah balu, duda, anak, ibu dan bapa termasuk anak angkat serta pihak ketiga seperti badan bukan kerajaan (NGO), organisasi, badan kebajikan yang berdaftar mengikut syarat sah dari segi undang-undang.

“Selain membantu waris, inisiatif ini juga dapat menyebarluaskan lagi dakwah zakat sekali gus meningkatkan kutipan zakat di Wilayah Persekutuan.

“Menerusi skim ini, secara tidak langsung akan memberi kelebihan dan manfaat kepada mereka yang melaksanakan zakat.

“Kita perlu sentiasa ingat, setiap rezeki yang diberikan Allah SWT bukanlah milik kita 100 peratus yang mana 2.5 peratus adalah hak golongan asnaf,” katanya.

Menurutnya, maklumat lanjut dan pembayaran zakat boleh dibuat secara dalam talian menerusi portal PPZ-MAIWP di www.zakat.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 4:58 PM