AHMAD Zahid hadir ketika hadir di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, bagi pendakwaan 45 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram. FOTO Rosdan Wahid
Murni Wan Omar


MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur, memindahkan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Yayasan Akalbudi yang dihadapi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi bahawa Mahkamah Tinggi sudah membenarkan permohonan mereka untuk memindahkan kes itu.

Ahmad Sazilee berkata, pada 21 Februari lalu Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan sudah membenarkan permohonan mereka, bagaimanapun, belum menetapkan sebarang tarikh.

Beliau juga memaklumkan bahawa pihaknya sudah memberi lebih 300 dokumen membabitkan kes itu kepada pembelaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Mac depan untuk sebutan semula di Mahkamah Tinggi.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik hadir mewakili Zahid.

Ahmad Zahid, kini berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 tuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember tahun lalu serta 20 Februari lalu, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap keseluruhan 47 pertuduhan merangkumi 12 dakwaan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di bank sama antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama iaitu boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 5:28 PM