GAMBAR hiasan.


SARAWAK sudah mengeluarkan sebanyak 60 lesen memburu buaya sebagai langkah mengawal peningkatan populasi reptilia itu bagi mengelak wujud konflik dengan manusia.

Ia termasuk lesen bagi penjualan daging dan kulit buaya, khusus bagi tujuan perubatan serta pembuatan produk kraf.

Timbalan Kontroler Hidupan Liar Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Engkamat Lading berkata, lesen pemburuan dan penjualan buaya itu bagi mengimbangi populasi reptilia itu, sekali gus mengurangkan ancamannya kepada manusia.

Katanya, inisiatif itu turut membantu mewujudkan sumber pendapatan kepada masyarakat setempat, terutama di kawasan sungai yang dikenal pasti memiliki kepadatan buaya tinggi.

“Sekarang buaya boleh ditangkap atau diburu untuk perdagangan di peringkat domestik atau antarabangsa asalkan memiliki lesen sah dikeluarkan JHS,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Engkamat berkata, pihaknya sudah banyak melakukan kajian di sepanjang sungai di Lawas dan mendapati populasi buaya katak meningkat di sungai itu.

Bagi tujuan berkenaan, katanya, JHS akan memasang lebih banyak notis pemberitahuan dan amaran di kawasan yang terdapat banyak reptilia itu di Sarawak.

“Kita mengalu-alukan penyelidik tempatan atau luar negara untuk menjalankan kajian terhadap buaya di Sarawak.

“Kita tidak mahu buaya mengalami kepupusan seperti nasib haiwan liar lain di negara ini seperti badak,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan, terdapat dua spesies buaya di Sarawak iaitu buaya katak dan buaya jenjulung yang boleh hidup di persekitaran air masin.

Selain buaya, katanya, terdapat banyak haiwan liar lain di Lawas seperti monyet belanda, dugong, penyu dan ikan lumba-lumba.

“Lokasi Kuala Lawas amat sesuai untuk dijadikan pusat pemuliharaan dan

pelancongan berasaskan bio-diversiti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 5:40 PM