MESYUARAT Majlis Raja-Raja yang berlangsung hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-253 di Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini.

Seri Paduka diiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada mesyuarat hari kedua itu.

Mesyuarat itu antara lain disembahkan taklimat terkini mengenai pertahanan negara oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan mengenai keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, perkara lain yang dibincangkan termasuk pelantikan hakim-hakim Mahkamah Tinggi dan perkara mengenai agama Islam termasuk pelantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Setiausaha Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

“Pelantikan Timbalan Pengerusi dan Ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Ketua Audit Negara turut dibincangkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Syed Danial berkata, pada mesyuarat dua hari itu, semua Raja Melayu berangkat hadir kecuali Terengganu.

Katanya, Raja-raja Melayu yang berangkat hadir ialah Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar; Sultan Perak Sultan Nazrin Shah; Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah; Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah; Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra dan Pahang diwakili Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

Sultan Kedah mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 6:28 PM