Nik Mohd Azlan (kanan) ketika melawat Hariani sekeluarga dan menyampaikan bantuan, hari ini. FOTO Syamsi Suhaimi.
Hazira Ahmad Zaidi


SEBUAH kediaman akan dibina bagi menempatkan tujuh beranak yang tinggal berhimpit di bawah rumah di Kampung Kijang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, pihaknya akan menyegerakan pembinaan itu supaya Hariani Mat, 47, dan enam anaknya tinggal lebih selesa dan selamat.

Katanya, rumah akan dibina di tanah milik kakak Hariani, Mek Yah, 49, yang memberi keizinan kepada MAIK.

“Insha Allah rumah ini akan dibina secepat mungkin selepas selesai semua urusan berkaitan pemberian keizinan tanah kepada MAIK untuk pembinaan kediaman Hariani.

“Ia akan dilengkapi tiga bilik tidur dan berharap keluarga ini dapat menjalani kehidupan lebih selesa selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan barang keperluan kepada keluarga itu, hari ini.

Dalam pada itu, Nik Mohd Azlan berkata, pihaknya turut mempertimbangkan bantuan persekolahan bulanan kepada anak Hariani dan masih berbincang lanjut mengenai perkara itu.

“Saya berharap dengan bantuan yang akan diberikan, dapat membaiki kehidupan mereka ke arah yang lebih baik,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada pembayar zakat negeri itu kerana menunaikan tanggungjawab dan hasil kutipan itu membolehkan MAIK terus menyalurkan bantuan kepada asnaf yang memerlukan.

Sementara itu, Hariani bersyukur menerima bantuan berkenaan dan mahu menjalani kehidupan lebih baik di masa depan.

“Alhamdulillah, impian saya untuk memiliki kediaman yang lebih baik akhirnya tertunai dan pada masa yang sama berterima kasih kepada kakak kerana memberi keizinan kepada MAIK membina rumah di atas tanahnya.

“Tapak rumah itu sebenarnya sudah lama disediakan, namun saya tidak mempunyai sumber kewangan untuk membina rumah sehingga pihak MAIK datang dan menyelesaikan kebuntuan selama ini,” katanya.

Kisah Hariani dilaporkan Harian Metro, 19 Februari lalu selepas tinggal berhimpit di bawah rumah milik arwah ibu bapanya yang dibuat daripada lebihan simen, papan lapis dan kayu buangan.

Berita berkaitan

'Berhimpit bawah rumah'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 6:38 PM