SERAMAI 8,836 ketua isi rumah di Selangor akan mendapat rebat elektrik RM40 setiap bulan sebaik dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, rebat diberikan kepada mereka yang tersenarai selain disahkan sebagai miskin tegar dan miskin dalam sistem E-Kasih.

“Berdasarkan pelaksanaan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan tidak membabitkan sebarang peruntukkan daripada kerajaan negeri.

“Daripada jumlah keseluruhan 8,836 itu, kita mendapati seramai 6,416 tidak mempunyai akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB). Ia mungkin disebabkan menyewa atau mungkin menggunakan kediaman orang lain.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan membantu mereka menerusi pusat khidmat rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menukar akaun TNB itu supaya mendapat peluang dalam rebat ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), hari ini.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, pemberian air percuma 25 meter padu sebulan oleh Kerajaan Selangor kepada golongan B40 akan bermula pada Mei atau Jun ini.

“Pelaksanaan pemberian skim air itu akan dilaksanakan secara berperingkat berikutan perancangan berkenaan perkara itu masih dalam perbincangan dan ia akan dimaklumkan pada Sidang DUN Mac ini.

“Saya akan memaklumkan berdasarkan kajian yang dibuat bagi memastikan ia tidak memberi kesan atau kejutan kepada penerima. Pemberian skim air percuma ini membabitkan banyak pihak,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin mengumumkan pemberian air percuma di Selangor akan ditambah daripada 20 meter padu kepada 25 meter padu sebulan ketika membentang Belanjawan Selangor 2019, November lalu.

Namun, skim pemberian air percuma itu hanya kepada golongan sasar yang berada dalam kalangan B40 iaitu mereka yang berdaftar dan mempunyai data dengan program E-Kasih.

Sementara itu, mengulas kenaikan tarif air di negeri ini, beliau berkata perbincangan berhubung isu itu masih belum dapat diputuskan berikutan formula untuk kenaikan tarif air masih belum dapat disepakati kerana ia membabitkan semua negeri dengan kerajaan pusat.

“Kita (Selangor) tidak akan tertekan (kenaikan tarif air) tetapi ada negeri lain yang akan terkesan dengan perkara ini. Sebagai contoh, Pahang dan Perlis kerana tarif air di sana tidak dinaikkan hampir 15 dan 20 tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 7:13 PM
Amirudin pada sidang media khas selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar