KEADAAN kereta Proton Persona dipandu Mohd Fadli yang terkorban dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 82, Jalan Kota Tinggi-Kluang, hari ini. FOTO ihsan polis.
Adnan Ibrahim


HASRAT pemandu ambulans Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang menjemput isterinya pulang dari tempat kerja tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 82, Jalan Kota Tinggi-Kluang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kemalangan pada 3.05 petang itu mengakibatkan mangsa, Mohd Fadli Ahmad, 43, yang memandu kereta Proton Pesona maut di tempat kejadian akibat parah di bahagian tengkuk, kepala dan dada.

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa memandu keretanya dari tempat kerja di HEBHK menuju ke bandar Kluang.

“Sebaik sampai tempat kejadian, mangsa dikatakan memasuki laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan kanan kereta Perodua MyVi yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran itu kereta mangsa berpusing dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan SUV Mazda dari arah Kluang.

“Akibat kejadian itu, mangsa parah di bahagian tengkuk, kepala dan dada sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mohd Abduh berkata, jenazah mangsa dirujuk ke HEBHK untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar.

Sementara itu, penyelia hospital tempat mangsa bertugas, Asmizal Shaari berkata, Mohd Fadli membuat cetakan masa keluar pada 2.58 untuk menjemput isterinya yang habis bekerja di Pejabat Kesihatan Daerah pada 3.30 petang.

Katanya, arwah bekerja sebagai pemandu ambulans giliran pagi pada hari ini dan jadual kerjanya tamat pada 2 petang, tetapi memilih untuk berehat di pejabat sebelum ke tempat kerja isterinya.

“Sepanjang tempoh bekerja pada hari ini, dia sering menyendiri dan tidak banyak bercakap dengan rakan sekerja, sedangkan sebelum ini dia kakitangan paling kecoh serta tidak tahu duduk diam.

“Kami amat terkejut dengan kejadian itu kerana lima minit sebelum itu arwah masih bersama kami dan dia keluar dengan keretanya dalam keadaan tidak tergopoh-gapah,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik HEBHK.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 7:34 PM