Gambar hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


SEORANG pelatih asrama lelaki cedera apabila dipukul beberapa pelatih lain di sebuah asrama di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Jalan Sentul, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang Pegawai Pembangunan Masyarakat berhubung kejadian itu 6.30 petang, semalam.

“Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, mangsa berusia 14 tahun dilaporkan patah tangan kanan dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kecederaan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang mahu memaklumkan kepada pihak warden mengenai kegiatan suspek membawa rokok ke asrama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shanmugamoorthy berkata, beberapa suspek yang memukul mangsa sudah dikenal pasti.

“Bagaimanapun, belum ada sebarang tangkapan dibuat setakat ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 7:43 PM