WANITA mati digilis lori selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan di Kilometer 144.6 di lebuh raya PLUS arah selatan di Bukit Mertajam, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Shamsul Munir Safini


SEORANG wanita maut digilis lori selepas motosikal ditunggang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 144.6 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di Bukit Mertajam, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, mangsa M Saghita, 35, dalam perjalanan dari arah Prai menghala ke Juru sebelum motosikal ditungganginya bergesel dengan tayar kiri lori dari arah yang sama.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, akibat kemalangan itu motosikal mangsa terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelum digilis lori berkenaan.

“Mangsa yang beralamat di Simpang Ampat mati di tempat kejadian.

“Pemandu lori berusia 60 tahun ditahan untuk diambil keterangan, dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk bedah siasat, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 9:23 PM