GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


TINDAKAN tiga lelaki yang mencuri 50 tong gas di sebuah stor simpanan gas petroleum cecair (LPG) di Sungai Way 17 Februari lalu mengundang padah apabila mereka ditahan polis.

Tong gas yang dicuri itu dijual separuh harga dari harga pasaran kepada pelanggan yang dicari kumpulan itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, lelaki berusia 30 hingga 40 tahun itu bertindak memecah masuk stor berkenaan sebelum melarikan sebuah lori yang berisi 50 tong gas.

“Suspek kemudian memindahkan tong gas di sebuah stor terbiar di Bandar Sunway dan meninggalkan lori berkenaan di tepi jalan.

“Kumpulan itu hanya sempat menjual tujuh tong gas sebelum ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di SS15,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya hari ini.

Risikin berkata, pihaknya masih memburu seorang lagi rakan yang masih bebas dan dipercayai melarikan tujuh tong gas lagi.

“Hasil siasatan jumlah keseluruhan tong gas berkenaan bernilai RM4,500 dan dijual kepada pelanggan dikenali.

“Semua suspek kini direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 3:38 PM