Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 29,000 pasang kasut dan selipar tiruan pelbagai jenama terkenal bernilai lebih RM1.1 juta.

Timbalan Pengarah Cawangan Operasi Khas KPDNHEP, Rosli Ahmad berkata, semua barangan itu dirampas hasil serbuan 12 anggota penguat kuasa KPDNHEP bersama wakil cap dagang di empat stor simpanan di Nilai 12 tengah hari kelmarin.

Beliau berkata, stor berkenaan dijadikan tempat penyimpanan pelbagai kasut dan selipar tiruan dari jenama Adidas, Nike, Puma, Converse dan Louis Vuitton.


Rosli (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian kasut dan selipar tiruan pelbagai jenama terkenal yang dirampas. FOTO Iqmal Haqim Rosman

“Ketika serbuan, anggota berjaya menahan remaja lelaki tempatan berusia 18 tahun yang mengaku sebagai penjaga di empat stor berkenaan yang disyaki dimiliki pengusaha sama.

“Hasilnya 29,000 pasang kasut yang menggunakan perihal dagangan palsu dirampas. Kita menyita semua barangan itu untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Kompleks Penyimpanan Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP di Nilai hari ini.

Rosli berkata, siasatan awal mendapati kasut berkenaan dipercayai diimport dari luar negara dan dijual di pasaran tempatan pada harga antara RM50 hingga RM70 sepasang.

Katanya, premis berkenaan disyaki baru beroperasi dalam tempoh sebulan dan pihaknya sudah mengenal pasti pemilik premis itu serta sedang mengesannya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hakcipta 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 5:20 PM