Seorang penunggang motosikal maut terlanggar serpihan besi di atas jalan di Jalan Pelabuhan Barat, Klang, semalam. FOTO Ihsan pembaca

SEORANG lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar serpihan besi di atas Jalan Pelabuhan Barat, Klang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, Mohd Haizan Zainal Abidin, 37, yang bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat pengangkutan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah di badan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa menunggang motosikal Honda Wave seorang diri dalam perjalanan dari Lebuhraya Shah Alam (KESAS) menuju ke Klang.

Menurutnya, mangsa terlanggar serpihan besi yang dipercayai tapak lori kontena di atas jalan berkenaan.

“Mangsa gagal mengelak dan tercampak ke atas jalan sehingga mengakibatkan kecederaan teruk sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian.

“Mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 5:24 PM