HASANUDDIN (dua kiri) bersama Nik Azlan (dua kanan) memasang peti surat polis sebagai gimik perasmian Program Satu Masjid Satu Polis Peringkat Kontinjen Kelantan 2019 di  Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
HASANUDDIN (dua kiri) bersama Nik Azlan (dua kanan) memasang peti surat polis sebagai gimik perasmian Program Satu Masjid Satu Polis Peringkat Kontinjen Kelantan 2019 di Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi


BAGI mencegah jenayah di kawasan masjid, seramai 562 pegawai polis dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Masjid (PPM) dan ditempatkan di seluruh masjid di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, Program Satu Masjid Satu Polis (1M1P) itu adalah inisiatif Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha pencegahan jenayah membabitkan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam negeri dan ahli jawatankuasa masjid.

Katanya, statistik kes jenayah yang berlaku di kawasan masjid di negeri ini sepanjang tempoh 2018 adalah sebanyak 148 kes termasuk jenayah kekerasan, kecurian motosikal dan curi tabung masjid.

“Pelantikan PPM ini selain pemasangan peti cadangan atau maklum balas di semua masjid di seluruh negeri dapat membantu polis untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai status keselamatan masjid.

“Kadar jenayah yang berlaku di masjid masih rendah, namun masyarakat perlu memainkan peranan untuk membantu polis mengekang jenayah yang berlaku di masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis 1M1P di Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, tahap keselamatan dan gejala sosial di masjid semakin membimbangkan.

“Saya berharap dengan kerjasama yang terjalin ini dapat meningkatkan lagi tahap keselamatan dalam persekitaran masjid di seluruh negeri di masa hadapan.

“MAIK sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi mengekang jenayah yang berlaku di persekitaran masjid dan melalui program 1M1P ini, ia dapat mengurangkan kadar jenayah seperti kecurian dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 6:26 PM