Keadaan Proton Pesona yang jatuh ke dalam Sungai Ketil berdekatan dengan Kampung Padang Kulim, bagaimana pemandu dan penumpang terselamat. FOTO Ihsan pembaca
Keadaan Proton Pesona yang jatuh ke dalam Sungai Ketil berdekatan dengan Kampung Padang Kulim, bagaimana pemandu dan penumpang terselamat. FOTO Ihsan pembaca
Safuri Kamarudin

DUA wanita berusia 30-an terselamat selepas kereta Proton Pesona dinaiki terhumban dari jambatan ke dalam Sungai Ketil berdekatan Kampung Padang Kulim, Baling petang ini.

Dalam kejadian 6.10 petang itu, kenderaan dinaiki wanita itu terhumban ke dalam sungai dari pada ketinggian lebih 10 meter.

Mangsa dari Kampung Belida, Kuala Ketil sempat diselamatkan orang ramai yang menyedari kejadian itu.

Seorang saksi, Normila Md Isa, 43, berkata kejadian berlaku apabila kereta berkenaan cuba memotong kereta lain di garisan berkembar atas jambatan berkenaan.

“Waktu itu saya dari arah Parit Panjang ke Kulim untuk ambil anak manakala kereta mangsa dari arah Kuala Ketil.

“Sampai di atas jambatan, kereta dipandu wanita berkenaan laju dan cuba memotong kereta lain di garisan berkembar dan hampir melanggar kereta saya,” katanya.

Katanya, kereta berkenaan dipercayai cuba mengelak kenderaannya sebelum terbabas ke dalam sungai.

“Pemandu cuba mengelak dari melanggar kereta saya dan masuk ke lorongnya semula, tetapi terbabas dan melanggar penghadang jambatan sebelum terjatuh dalam sungai,” katanya.

Normila berkata, dia panik melihat kejadian itu dan segera memberhentikan kereta untuk mendapatkan bantuan orang ramai.

“Alhamdulillah, ketika itu beberapa pekerja kilang yang lalu dan membantu mengeluarkan mangsa dari dalam kereta di dalam sungai.

“Pada awalnya saya sangka ada bayi kerana lihat barang bayi hanyut di bawa arus tetapi sebenarnya tiada dan kedua-dua wanita berkenaan dihantar dengan ambulans ke hospital berdekatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 9:29 PM
Digital NSTP Subscribe