GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


JABATAN Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) menafikan kematian dua bekas pesakit Pusat Hemodialisis Mawar (PHM) adalah disebabkan penutupan pusat berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata, kedua-dua pesakit itu menyambung rawatan di pusat hemodialisis swasta dan hospital kerajaan selepas PHM diarah tutup mengikut undang-undang, Januari lalu.

Menurutnya, pesakit pertama iaitu lelaki berusia 74 tahun meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) 10 pagi semalam akibat serangan jantung.

“Pesakit itu pernah menerima rawatan dialisis di PHM dan mendapatkan rawatan susulan di pusat hemodialisis swasta di Sikamat selepas penutupan PHM.

“Bagaimanapun, pesakit itu datang ke Jabatan Kecemasan HTJS Rabu lalu kerana kesukaran bernafas.

“Pemeriksaan mendapati keadaan pesakit stabil dan diputuskan untuk meneruskan rawatan dialisis di Sikamat.

“Pesakit kemudian dirujuk pusat swasta berkenaan ke HTJS bagi pemasangan catheter baru. Pemasangan itu dijadualkan Khamis namun pesakit tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia jam 10 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Veerapan berkata, siasatan mendapati pesakit itu meninggal dunia disebabkan masalah jantung dan rawatan diberikan hospital bertepatan dengan piawaian perawatan ditetapkan.

Sementara itu, beliau berkata, pesakit kedua iaitu lelaki berusia 69 tahun pula dilaporkan meninggal dunia di rumahnya dan tidak dibuat bedah siasat.

“Untuk makluman, pesakit yang mendapat rawatan hemodialisis mengalami kegagalan buah pinggang yang kronik dan sebahagian besar pesakit buah pinggang ini juga ada penyakit kronik lain seperti diabetes, darah tinggi dan jantung.

“Saya berharap orang ramai tidak menyebarkan berita menyatakan jumlah kematian banyak dan lain-lain isu berkaitan di laman sosial sebaliknya mendapatkan maklumat sahih daripada Jabatan Kesihatan agar tidak mengelirukan orang awam,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa mengutamakan kesihatan semua pesakit yang perlu menerima rawatan sewajarnya sama ada pesakit dari PHM yang diarah tutup atau pesakit yang dirujuk oleh doktor dari klinik atau hospital swasta lain.

15 Januari lalu, Kementerian Kesihatan membatalkan lesen Pusat Perubatan Mawar berkuat kuasa serta merta kerana melanggar ketetapan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 9:50 PM