AZMI (kanan) dan Misbah menunjukkan keadaan Sungai Kangkar Senangar yang dipenuhi semak samun.
Adnan Ibrahim


KEADAAN tali air yang dipenuhi semak samun selain longgokan sampah dikenal pasti menjadi punca banjir kilat setiap kali hujan lebat di Kampung Kangkar Senangar dekat sini.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kangkar Senangar, Azmi Suradi berkata, parit dan sungai yang sepatutnya berfungsi sebagai pencegah banjir tersumbat akibat sikap penduduk yang membuang sampah sesuka hati selain sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik.

Beliau berkata, parit yang berhubung dengan Sungai Kangkar Senangar ini, kebanyakannya sudah sempit dan ada yang menjadi tempat pembuangan sampah haram sehingga menyekat aliran air ketika hujan sehingga menyebabkan banjir kilat.

“Manakala Sungai Kangkar Senangar ini pula kedalamannya sudah cetek dan mula ditumbuhi lalang serta rumput sehingga permukaannya menjadi semak. Jika hujan lebat kira-kira setengah jam pun, banjir kilat akan melanda.

“Keadaan itu juga menyebabkan beberapa kampung rangkaian di dalam kawasan pentadbiran ini menghadapi fenomena air termenung yang boleh berlarutan sehingga lima hingga enam bulan sebelum surut sepenuhnya,” katanya.

Menurut Azmi, keadaan ini juga secara tidak langsung boleh berfungsi sebagai tempat pembiakan nyamuk selain persembunyian haiwan berbisa yang boleh mengancam keselamatan penduduk.

Sementara itu, Pengerusi MPKK Parit Pulai, Misbah Selamat pula mendakwa Sungai Kangkar Senangar adalah satu rangkaian kepada Sungai Parit Sulong dan tidak diselenggara sejak lebih tiga tahun lalu.

“Orang kampung juga tidak puas hati dengan keadaan ini dan saya juga sudah beberapa kali berhubung dengan pihak berkaitan untuk menyelesaikan masalah ini.

“Sungai ini juga mengeluarkan bau busuk dipercayai akibat aktiviti perindustrian dan penternakan yang dialirkan sehingga menjejaskan kehidupan sungai,” katanya.

Misbah berkata, masalah ini bukan hanya membabitkan kampung itu sahaja, tetapi turut berlaku ke atas beberapa sungai di kampung berhampiran.

Katanya, pihaknya tidak mampu untuk membersihkan sungai sepanjang kira-kira 10 kilometer itu meskipun ia dilakukan secara bergotong-royong kerana membabitkan jentera berat dan kos tinggi.

“Kita berharap masalah ini mendapat perhatian yang sewajarnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 6:30 AM