BERNAMA

SEBANYAK 24 pusat mengundi membabitkan 116 saluran dibuka 8 pagi hingga 5.30 petang ini bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat baharu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Sejumlah 53,411 pengundi biasa layak berbuat demikian dalam PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mewakili Pakatan Harapan (PH), pada 11 Jan lalu.

Jumlah itu berdasarkan daftar pemilih pada suku ketiga 2018 yang dikemas kini sehingga 11 Jan 2019, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

DUN Semenyih mempunyai 53,520 pemilih biasa namun 109 telah mengundi secara pos, menjadikan jumlah yang layak mengundi hari ini ialah 53,411 orang. Pengundian awal bagi PRK itu diadakan Selasa lepas.


Petugas SPR membawa dua peti undi ke pusat pengundian Dewan JKKK Kampung Sesapan Kelubi, Beranang seawal 7pagi bagi PRK DUN Semenyih. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Sebanyak 996 kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertugas di pusat-pusat mengundi berkenaan.

Pusat penjumlah rasmi undi yang ditetapkan bagi PRK DUN Semenyih ialah di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang di Saujana Impian, Kajang.

SPR sebelum ini menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRK itu adalah kira-kira 70 peratus dan keputusan pengundian dijangka diumumkan sebelum 10 malam.

Tempoh rasmi berkempen yang bermula sejak 16 Feb lepas berakhir 11.59 malam tadi.

PRK Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Muhammad Aiman Zainali daripada PH, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

Ia adalah PRK keenam selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Jan).

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 8:32 AM