Zuliaty Zulkiffli


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah sedia bekerjasama dengan pengusaha bot dan feri penumpang di Pulau Langkawi untuk mengadakan latihan kebakaran sebagai persediaan jika menghadapi kebakaran di laut.

Ketua Zon 4 Langkawi, JBPM Kedah, Penguasa Bomba Mohd Fadzlullah Mohd Noor berkata, dengan adanya latihan seperti itu ia dapat memberi pengetahuan kepada anak kapal atau pengusaha feri supaya lebih berhati-hati dan mempunyai persediaan rapi jika berlaku insiden sedemikian.

Beliau berkata, cadangan itu sudah dikemukakan kepada Jabatan Laut Malaysia dan kini hanya menunggu jawapan daripada pihak syarikat feri.

“Ini kejadian kedua membabitkan syarikat feri itu, sebelum ini pernah terkandas di laut beberapa bulan lalu dan perlu ditangani segera bagi mengelak kejadian sama berulang.


Anggota bomba melakukan siasatan di feri penumpang yang terbakar. FOTO Zuliaty Zulkiffli

“Kita ada pasukan yang dipanggil OKK iaitu Organisasi Keselamatan Kebakaran yang mana perkara ini perlu dipanjangkan kepada pengusaha bot ni kepada anak-anak kapal dan berharap jika berlaku kebakaran ia boleh menjadi satu unit ataupun pasukan yang dapat bertindak awal menyelamatkan keadaan dan sebelum ketibaan jabatan bomba ataupun penyelamat lain,” katanya ditemui semalam.

Dalam kejadian 25 Februari lalu, 52 penumpang feri Dragon Star 1 yang dalam perjalanan dari Langkawi, Kedah ke Kuala Perlis cemas apabila feri berkenaan terbakar sebaik berlepas dari Terminal Feri Langkawi.

Semua mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan beberapa bot yang berada berhampiran dan tiada kecederaan dilaporkan.

Berita berkaitan:

  • Semua operasi feri milik Dragon Star digantung
  • Cuaca panas punca feri terbakar
  • [UPDATE] Penumpang feri selamat [METROTV]
  • Feri terbakar di perairan Langkawi
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 10:59 AM