DR Jamilah (dua kiri) melancarkan Penguatkuasaan Pendidikan Larangan Merokok  di Tempat Makan Peringkat Sarawak. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni

SARAWAK melaksanakan larangan merokok di premis makanan secara berperingkat berkuatkuasa semalam, dengan memberi lebih penumpuan kepada aspek pendidikan dan kesedaran berhubung peraturan baharu itu.

Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Jamilah Hashim berkata, dua elemen berkenaan amat penting sebelum sebarang denda atau kompaun dilaksanakan bagi mengelak sebarang konflik atau salah faham dalam kalangan orang ramai.

“Pemilik premis diberi tempoh enam bulan bagi memberi kesedaran mengenai pematuhan peraturan baharu itu. Malah, notis amaran turut dipasang di premis berkaitan bagi mendokong kempen pendidikan dan kesedaran itu.

“Selepas berakhir tempoh percubaan ditetapkan itu, tindakan penguatkuasaan sebenar akan dilaksanakan, dengan pegawai kesihatan boleh mengeluarkan kompaun kepada mereka yang didapati melanggar peraturan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pendidikan Penguatkuasaan Larangan Merokok Di Tempat Makan Peringkat Sarawak di Kuching, semalam.

Jamilah ketika mengulas lanjut berkata, di peringkat permulaan ini, 480 pegawai penguatkusa kesihatan yang dilantik dan memiliki kad kuasa yang ditandatangani oleh Menteri Kesihatan akan ditugaskan untuk penguatkuasaan.

“Perokok hanya boleh merokok pada jarak sekurang-kurangnya 10 kaki (3 meter) dari kawasan premis makanan. Bagi individu yang didapati melakukan kesalahan tersebut berdepan denda maksimum RM10,000 atau penjara lebih dua tahun.

“Manakala, pengusaha premis makanan yang tidak meletakkan tanda larangan merokok juga boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan,” katanya.

Katanya, pengusaha yang sengaja membiarkan pelanggan merokok dalam premis makanan mereka juga boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun.

“Pemilik premis perlu menyediakan papan tanda larangan merokok yang sesuai dan mengikut saiz standard yang betul serta tidak boleh menyediakan bekas abu rokok di atas meja selain memastikan tiada individu yang merokok di dalam premis makanan mereka,” kata.

From: Hardi Effendi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 11:07 AM