Antara PATI yang ditahan JIM dalam operasi di Alor Setar semalam. FOTO Ihsan JIM
BERNAMA

SERAMAI 1,485 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara mulai tengah malam tadi.

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, tangkapan itu hasil pemeriksaan JIM dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara dan Angkatan Pertahanan Awam ke atas 3,750 warga asing.

“Operasi yang dijalankan Ibu Pejabat JIM berjaya menahan 218 PATI daripada 418 yang diperiksa di sebuah pusat hiburan dan dua kediaman sekitar Lembah Klang atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengadakan 2,646 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dan memeriksa 40,321 individu dari 1 Januari hingga kelmarin.

Daripada jumlah itu, 9,452 PATI pelbagai warganegara ditahan atas kesalahan imigresen antaranya tinggal lebih masa, memasuki negara ini tanpa dokumen sah dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Khairul Dzaimee berkata, 176 majikan turut ditahan sepanjang tempoh berkenaan manakala 151 majikan sudah didakwa dan diambil tindakan.

“Daripada keseluruhan PATI yang ditahan, tangkapan tertinggi adalah warga Indonesia iaitu 3,261 diikuti Bangladesh (2,378); Filipina (849); Myanmar (868) dan bakinya dari lain-lain negara,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri melalui JIM akan mengambil segala langkah perlu dan tindakan tegas untuk menangani isu berkaitan PATI.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan majikan dan pekerja asing mematuhi undang-undang negara.

Langkah tegas itu katanya perlu diambil bagi mengatasi masalah lambakan PATI di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 11:16 AM