REMAJA yang ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya. FOTO ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi

SUDAHLAH tidak memakai topi keledar malah gelagat empat remaja lelaki menunggang motosikal secara berbahaya dan melakukan aksi ‘wheelie’ mengundang padah apabila ditahan di Jalan Padang Garam, Kuala Kedah, semalam.

Dalam operasi jam 6.15 petang itu, anggota polis trafik yang sedang menjalankan Op Samseng Jalanan di kawasan terbabit melihat dua motosikal dinaiki empat remaja lelaki berusia 12 hingga 16 tahun melakukan aksi terbabit sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, mereka turut berlumba dua pusingan menghala ke Simpang Karaoke tanpa memakai topi keledar sebelum ditahan ketika berhenti.

Menurutnya, motosikal remaja terbabit turut disita dan mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Kota Setar untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan1987.

“Selain itu, 22 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik seperti tidak memakai topi keledar, nombor pendaftaran kenderaan, bawah umur, cermin sisi, ubah suai kenderaan dan brek.

“Seramai 86 orang diperiksa dalam operas itu membabitkan 25 motosikal, 10 kereta dan tujuh lori di mana 22 saman dikeluarkan itu keatas mereka yang menunggang motosikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 11:31 AM