GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib


WANITA warga emas diperdaya lelaki bergelar ‘datuk’ dengan mendakwa mangsa ada tunggakan pinjaman bank sehingga mengakibatkan kerugian RM13,350, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 74 tahun dihubungi suspek 2.30 petang dan mendakwa nama mangsa akan disenaraihitamkan kerana tidak membayar pinjaman bank.

“Suspek mendakwa dirinya ‘datuk’ dan meminta mangsa membayar sejumlah wang untuk menyelesaikan baki pinjaman itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pada hari sama, mangsa yang tinggal di Taman Bukit Cermin, Temerloh membuat pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan suspek berjumlah RM13,350.

“Namun selepas memindahkan wang itu, suspek menghubungi mangsa dan meminta lagi dia menambahkan wang.

“Mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh semalam,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, peniaga lelaki berusia 46 tahun di Kuantan terpaksa menanggung kerugian RM15,000 selepas ditipu sindiket pinjaman tidak wujud, Selasa lalu.

Katanya, kejadian bermula apabila mangsa tertarik dengan iklan di laman sosial sebelum berurusan dengan seorang lelaki untuk membuat pinjaman wang RM10,000.

“Suspek meminta mangsa menghantar salinan kad pengenalan dan penyata akaun bank sebelum diminta membuat pembayaran RM1,000 sebagai wang jaminan.

“Bagaimanapun, selepas membuat bayaran itu, suspek masih lagi meminta mangsa membuat pelbagai bayaran lain untuk insurans, peguam dan cukai.

“Selepas membuat semua bayaran, suspek gagal dihubungi dan mangsa kemudian membuat laporan polis di IPD Kuantan semalam,” katanya.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah menawarkan pinjaman wang menggunakan syarikat pinjaman wang yang tidak wujud di Internet.

“Polis sudah mengambil keterangan kedua-dua mangsa. “Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 12:35 PM