Parang yang dirampas polis daripada lelaki yang mengamuk. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


DENDAM lama kepada adiknya menyebabkan lelaki yang baru dibebaskan dari penjara bertindak menyerang dan mengamuk dengan parang di kediaman keluarga mereka di Taman Kenari, Kulim kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, lelaki berusia 36 tahun datang ke rumah adik lelakinya berusia 33 tahun dalam keadaan marah sambil memegang sebilah parang.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek kemudian mengamuk di dalam rumah dan menampar muka dua kali sebelum menyerang mangsa serta mengugut ingin membunuhnya.

“Mangsa yang ketakutan kemudian berlari keluar ke halaman rumah menyebabkan suspek mengejar dan sekali lagi menghayun parang namun sempat diselamatkan polis yang kebetulan melalui kawasan itu ketika membuat operasi bersepadu.

“Siasatan mendapat suspek baru keluar dari penjara tiga hari lalu dan menyimpan dendam dengan mangsa kerana memberi keterangan sebagai saksi untuk kes lampaunya,” katanya hari ini.

Ahmad Nasir berkata, siasatan juga mendapati suspek memiliki 16 rekod jenayah lampau membabitkan kes cubaan membunuh, mencederakan orang, samun, curi, menipu dan dadah.

“Kita juga merampas sebilah parang dan pisau daripada suspek sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim untuk tindakan lanjut.

“Dia direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 1:29 PM