Kebakaran yang memusnahkan lima rumah, dua kedai runcit, sebuah gerai dan sebuah motosikal semalam. FOTO Ihsan Bomba
Hazsyah Abdul Rahman


LIMA rumah, dua kedai runcit, sebuah gerai dan motosikal musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai-Sungai, Paitan, Beluran semalam.

Kejadian 2 petang itu turut menyebabkan dua kereta iaitu Proton Pesona dan Perodua Viva milik penduduk rosak sebahagiannya selepas terkena bahang api.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian 2.27 petang.

Katanya, sebuah jentera bersama lapan anggota dan pegawai dikerah ke lokasi yang terletak 170 kilometer dari balai bomba sebelum tiba jam 5.31 petang.

“Ketika sampai sebahagian besar rumah yang terbabit sudah musnah terbakar dan bomba kemudiannya menjalankan operasi memadamkan sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

“Api berjaya dipadamkan sejurus selepas itu dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya hari ini.

Rastam berkata, siasatan awal mendapati, api difahamkan bermula dari gerai di perkampungan berkenaan sebelum merebak ke kedai runcit seterusnya ke lima rumah berhampiran.

Katanya, Jabatan Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian dan jumlah kerugian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 2:29 PM