Bakri melihat pokok jenis pokok Bidara Siam sambil diperhatikan Ahmad (baju putih). FOTO Hasriyashah Sabudin
Raja Noraina Raja Rahim


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil inisiatif menyediakan bekalan makanan bagi menghadapi cuaca panas jika keadaan itu berterusan.

Selain barangan basah, stok itu merangkumi sayur-sayuran, buah-buahan dan produk industri asas tani di seluruh negara.

Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak berkata, FAMA ada menyediakan simpanan bekalan makanan yang dapat menampung keperluan di seluruh negara.

“Kita mempunyai stor simpanan apabila ada kekurangan kita akan keluarkan dan dihantar ke kawasan yang memerlukan. Setakat ini, tiada kekurangan bekalan dilaporkan berlaku.

“Namun, kerajaan memberi kelulusan untuk mengimport bekalan seperti kobis dan kelapa. Bagi bekalan buah-buahan tiada masalah kerana pada musim panas hasilnya lebih memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan My Best Buy - Jualan Terus Dari Ladang Peringkat Negeri Sembilan di FAMA Negeri Sembilan hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir.

Sementara itu, Bakri berkata, program berkenaan antara usaha kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat kerana barangan yang dijual lebih murah antara lima hingga 20 peratus berbanding pasaran luar.

Katanya, pihaknya menggalakkan program sedemikian dan ia dijangka diteruskan ke pejabat FAMA daerah di seluruh negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 3:16 PM