Keadaan kereta yang tersangkut pada kabel pembahagi jalan ketika cuba melarikan diri. FOTO IhsanPDRM
Iskandar Shah Mohamed


PANIK dan mahu meloloskan diri, mekanik sanggup melanggar kereta peronda polis berdekatan Plaza Tol Kapar, Lebuhraya Grand Sepadu menghala ke Pelabuhan Klang di Klang hari ini.

Kejadian jam 6 pagi itu turut menyebabkan lelaki tempatan berusia 32 tahun terbabit nyaris melanggar anggota polis yang berada di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, lelaki itu berjaya diberkas apabila kereta dipandunya tersangkut pada kabel pembahagi jalan dan membawa kepada penemuan dadah jenis syabu, ganja dan Erimin 5.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd Khairi Shafie berkata, kereta peronda polis mengesan sebuah kereta Proton Satria coklat dalam keadaan mencurigakan di Jalan Meru menuju ke Setia Alam.

“Anggota polis yang ingin menjalankan pemeriksaan kemudian mengarahkan pemandunya berhenti namun tidak diendahkan dan kereta peronda lain kemudian diminta untuk bantuan lanjut.

“Kereta itu berjaya dihalang di Plaza Tol Kapar namun suspek melanggar depan kereta peronda sehingga menyebabkan kerosakan.

“Suspek kemudian cuba melarikan diri dengan mengundurkan kenderaan sehingga nyaris melanggar anggota polis peronda yang berada di lokasi,” katanya hari ini.

Menurutnya, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan bagi menghalang suspek melarikan diri dan mempertahankan diri daripada dilanggar.

“Tujuh kesan tembakan ditemui pada kereta suspek yang tersangkut pada kabel pembahagi jalan ketika cuba melarikan diri.

“Anggota polis dan suspek bagaimanapun tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Mohd Khairi berkata, pemeriksaan ke atas suspek menemui

syabu seberat 30.38 gram, ganja (10.25 gram) dan 20 pil Erimin 5.

“Selain itu, hasil ujian saringan air kencing suspek didapati positif Methampetamine dan Amphetamine.

“Semakan turut mendapati suspek memiliki enam rekod jenayah lampau terutama membabitkan kes dadah,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh selain kesalahan dadah di bawah Seksyen 39 A (2), Seksyen 12 (2), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 5:18 PM