PENGUAT kuasa DBKL dihalang ketika melaksanakan tugas dan diugut dalam satu operasi di Jalan Genting Klang, Setapak, Khamis lalu. FOTO Ihsan DBKL
Norizuan Shamsuddin


DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat laporan polis berhubung tindakan penjaja yang bertindak menghalang anggotanya melaksanakan tugas dan diugut ketika menjalankan operasi di Jalan Genting Klang, Setapak, Khamis lalu.

Difahamkan laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, semalam, berhubung insiden membabitkan anggota penguat kuasa DBKL dan penjaja itu yang turut tular di media sosial.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Norhaslinda Nordin berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan anggota penguat kuasa terbabit melakukan Operasi Tegas terhadap penjaja tanpa lesen di kawasan berkenaan, pada 9.40 malam.

Katanya, operasi terbabit dilakukan susulan aduan awam mengenai kegiatan penjaja di lokasi terbabit yang meletakkan kerusi, meja serta memasang khemah di atas siar kaki dan petak letak kereta sehingga menyebabkan gangguan awam dan lalu lintas.

“Ketika operasi dilakukan, seorang penjaja tanpa lesen dikesan dan tindakan sitaan dilakukan ke atas peralatan perniagaan miliknya mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

“Bagaimanapun, semasa tindakan sitaan sedang dilakukan, penjaja berkenaan bertindak dengan menghalang dan membuat provokasi ke atas

anggota penguat kuasa DBKL yang sedang menjalankan tugas.

“Susulan itu, timbul tindakan di luar kawalan oleh penjaja terbabit ke atas anggota penguat kuasa DBKL yang sedang menjalankan tindakan.

“Malah, penjaja terbabit turut membuat ugutan atau ancaman terhadap seorang anggota penguat kuasa dan keluarga,” katanya menerusi kenyataannya, semalam.

Menurut Norhaslinda, pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung insiden terbabit berikutan individu berkenaan didapati menghalang penjawat awam melaksanakan tanggungjawab dan mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan.

Katanya, pihak DBKL menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan dan tindakan lanjut ke atas individu terbabit.

“Sebelum kejadian ini, DBKL sudah mengambil tindakan terhadap penjaja terbabit di atas kesalahan yang sama hasil daripada aduan awam, pada 31 Januari lalu.

“Pemantauan susulan dilakukan pada 12 Februari mendapati penjaja terbabit masih ingkar dan menjalankan perniagaan di lokasi yang sama.

“Teguran secara lisan dan notis kompaun sudah dikeluarkan terhadap penjaja terbabit.

“Tindakan yang dilaksanakan DBKL dalam insiden terbabit bukannya bersikap rasis atau selektif, tetapi lebih ke arah keselesaan awam dan kebersihan pengendalian makanan.

“Adalah perlu untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang berniaga tanpa lesen ini untuk mengelakkan timbul masalah seperti keracunan makanan kerana mereka ini tidak berdaftar dan sukar dikesan kerana tiada rekod kesihatan,” katanya.

Sebelum itu, satu video berdurasi hampir empat minit membabitkan sepasukan anggota penguat kuasa DBKL melakukan tindakan sitaan barangan penjaja menjadi tular di media sosial sejak semalam.

Video terbabit turut memaparkan kekecohan yang berlaku antara penjaja dengan anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas sehingga menyebabkan pergelutan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 12:46 AM