Ruwaida Md Zain


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu pengajian akidah berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah diajar dan dipertingkatkan di masjid di negeri ini.

Baginda bertitah demikian supaya fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah terus menjadi asas pegangan kepada umat Islam di negara ini.

Titah baginda, fahaman liberalisme yang memperjuangkan hak kesamarataan sehingga membawa budaya LGBT juga perlu segera ditangani dengan berkesan supaya tidak menjadi ikutan dan 'trend' yang akan merosakkan masyarakat Islam di negara ini.

“Ancaman sebegini adalah api dalam sekam yang sedang memusnahkan Islam dan pengikutnya dari dalam.

“Bagi mengatasi ancaman ini, beta menitahkan supaya pengajian akidah berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah perlu diajar dan dipertingkatkan di masjid agar fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah terus menjadi asas pegangan kepada umat Islam di negara ini,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian di Majlis Istiadat Pengurniaan Tauliah Nazir dan Imam-Imam Negeri Selangor, di Balairung Seri, Istana Alam Shah di Klang, hari ini.

Turut berangkat hadir Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan pentauliahan berkenaan kepada seramai 827 Nazir dan Imam masjid di seluruh Selangor, manakala baki penerima akan menerima pentauliahan masing-masing dalam satu majlis yang diadakan pada 16 Mac ini.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin bertitah, baginda dimaklumkan sehingga Disember tahun lalu, terdapat 45 golongan ajaran sesat dan menyeleweng difatwakan oleh Jabatan Mufti Selangor.

“Penularan dan merebaknya ajaran ini bukan suatu perkara kecil dan boleh diambil ringan.

“Apa yang lebih membimbangkan Beta, sebahagian mereka mengambil pendekatan ekstrim yang boleh menggugat keselamatan negara,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan Nazir, Imam mahupun jawatankuasa masjid agar tidak memanggil penceramah yang tiada pentauliahan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk berceramah di masjid dan surau di negeri itu.

“Penceramah luar negara pula hanya dibenarkan menyampaikan ceramah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong dan Masjid Sultan Suleiman Klang, selepas tauliah khas diperoleh dari MAIS, seperti titah Beta pada 21 Ogos 2015,”titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 12:10 PM
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan watikah pelantikan imam. FOTO Roslin Mat Tahir