DR Dzulkefly (tiga dari kanan) berlari bersama kanak kanak OKU Run for Rare Penyakit Jarang Jumpa di Sunway Medical Center. FOTO Rohanis Shukri
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


KERAJAAN akan tetap membina klinik kesihatan baharu di Semenyih tahun ini, walaupun parti Pakatan Harapan (PH) tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan, semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya mengambil sikap bertanggungjawab dalam menangani isu membabitkan rakyat.

“Ia seperti mana yang saya katakan bahawa kita akan bina klinik kesihatan yang baharu kerana melihat keadaan Klinik Kesihatan Semenyih yang sesak dan uzur.

“Kita yakin akan dapat lokasi tanah daripada peruntukan kerajaan negeri seperti yang dinyatakan calon PH Muhammad Aiman Zainali, sebelum ini.

“Saya yakin projek ini dapat direalisasikan tahun ini mengikut keseluruhan peruntukan dalam pembangunan fasiliti dan perancangan kami,” katanya pada sidang media selepas merasmikan ‘Run for Rare’ 2019 di Sunway Medical, Petaling Jaya, hari ini.

Lebih 3,000 peserta termasuk pesakit jarang jumpa atau ‘Rare Disease’ turut mengambil bahagian dalam larian membabitkan lima kilometer (km).

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, PH perlu menjalankan ‘bedah siasat’ bagi melihat semula punca kekalahan parti berkenaan.

“Kita perlu menerima kekalahan ini dengan rasa tanggungjawab.

“Saya yakin kepimpinan PH akan mengadakan ‘post morterm’ dan datang dengan satu persiapan untuk menghadapi PRK yang lain.

“Kita akan ambil ia sebagai satu yang serius. Saya mengucapkan tahniah kepada calon yang berjaya dalam PRK Semenyih,” katanya.

PRK DUN Semenyih menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi berjaya merampas kerusi berkenaan dengan memperoleh 19,780 undi mengatasi lawannya Muhammad Aiman Zainali dari PH yang mendapat 17,866 sekali gus menang dengan majoriti 1,914 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 2:38 PM