NORSHILA yang sudah empat tahun hilang. FOTO Ihsan keluarga
Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my


“KAMI mohon Shila pulang dan hubungi keluarga, banyak perkara yang terjadi akibat perbuatannya yang saya tidak boleh ceritakan kepada umum,” kata Abdul Rosle Osman, 30, abang sulung kepada Norshila Osman, 22, yang hilang hampir empat tahun lalu.

Abdul Rosle berkata, dia dan keluarga buntu untuk mencari adiknya selepas dia tidak dapat dihubungi, selain tidak mengetahui di mana anak keempat daripada enam beradik itu berada.

“Kami sudah buntu mencarinya, jadi kami terpaksa menggunakan media untuk membantu mencari Shila.

“Shila ke Semenanjung dari Sandakan, Sabah untuk melanjutkan pelajaran di Kolej Pusat Dakwah Serantau di Kuala Lumpur kemudian menyambung pelajaran di sebuah kolej swasta di kawasan Cheras,” katanya kepada Harian Metro.

Abdul Rosle mengakui ada satu kejadian berlaku antara mereka dengan Shila yang menyebabkan adiknya melarikan diri daripada keluarga.

“Sukar untuk saya nyatakan di sini kerana ia seolah-olah membuka pekung dan aib keluarga terutama Shila.

“Namun, apa yang saya boleh katakan, selepas kehilangan Shila, keluarga kami dihujani permintaan beberapa lelaki yang datang menuntut hutang,” katanya.

Katanya, dia berharap Shila pulang ke Sandakan dan bertemu bapanya yang risau akan keselamatannya selepas menghilangkan diri tanpa khabar berita.

“Kami tidak akan marah, malah semuanya boleh diselesaikan dengan perbincangan keluarga, apa yang penting Shila pulang dan hubungi kami,” katanya.

Bapa Abdul Rosle, Osman Bacheril ada membuat laporan mengenai kehilangan anak gadisnya pada Disember 2018 di Sandakan, Sabah.

Orang ramai yang mengenali Shila boleh menghubungi balai polis terdekat untuk menyalurkan maklumat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin mengesahkan menerima laporan yang dibuat Osman mengenai kehilangan Norshila.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 3:07 PM