GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


PERSELISIHAN faham menyebabkan seorang lelaki cedera selepas ditikam di belakang badan oleh rakannya di kediaman mangsa di Kota Sarang Semut, Alor Setar, kelmarin.

Dalam kejadian 9 pagi itu, mangsa berusia 29 tahun yang berada di rumah didatangi seorang lelaki berusia 20-an yang mengamuk dan menuduhnya membuka cerita suspek mencuri barang disyaki dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, bagaimanapun pertengkaran itu bertukar menjadi ganas apabila suspek mengambil pisau yang berada di atas meja dan terus menikam belakang mangsa.

Menurutnya, selepas menikam mangsa, suspek kemudian terus melarikan diri sementara bapanya yang menyaksikan kejadian itu menghubungi seorang lagi anaknya dan ambulans.

“Mangsa yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan kini dilaporkan stabil.

“Siasatan awal mendapati mereka yang sudah berkawan selama sembilan tahun itu berselisih faham selepas suspek tidak berpuas hati apabila mendakwa mangsa menceritakan kepada orang lain dia mencuri barang disyaki dadah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Rozi berkata, mangsa kini menerima rawatan di HSB dan dilaporkan stabil.

“Usaha memburu suspek sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 4:54 PM