MANGSA menerima enam jahitan selepas dipukul pemandu Grabcar berkaitan masalah tambang, tengah malam tadi. FOTO ihsan pembaca.
Norizuan Shamsuddin


LELAKI warga Bangladesh mendakwa cedera selepas dipukul pemandu Grabcar dalam kejadian di Kampung Baru Sungai Buloh, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, kejadian berlaku apabila mangsa berusia 23 tahun terbabit menggunakan perkhidmatan Grabcar untuk pulang ke rumahnya di lokasi berkenaan.

“Mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan menaiki Grabcar dipandu lelaki warga Pakistan dari Jalan Gajah 10, Sungai Pelong untuk pulang ke rumahnya di Kampung Baru Sungai Buloh, pada 12.10 tengah malam.

“Sebelum menaiki kereta berkenaan mangsa dimaklumkan tambang untuk perjalanan terbabit adalah RM9.

“Apabila sampai destinasi mangsa membuat pembayaran dengan menyerahkan wang RM20 dan meminta baki daripada pemandu terbabit.

“Bagaimanapun, pemandu terbabit memaklumkan tiada baki dan terus memarahi serta menumbuk mangsa sebelum beredar,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Shafa’aton berkata, susulan kejadian itu, mangsa cedera di bahagian bawah bibir dan menerima enam jahitan selepas mendapatkan rawatan di hospital.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh pada 1 pagi.

“Polis sudah mengenalpasti suspek dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 9:01 PM