GAMBAR Hiasan.
Shamsul Munir Safini


ANGKARA mabuk, lapan individu yang bergaduh sebelum salah seorang daripada mereka menyerang polis diberkas di Icon City, Bukit Tengah, Bukit Mertajam, semalam.

Dalam kejadian di kawasan luar premis hiburan di situ, lapan individu termasuk seorang wanita berusia 22 hingga 41 tahun wanita diberkas polis selepas merusuh.

Difahamkan, berlaku salah faham di antara satu kumpulan lima lelaki dan seorang wanita dengan dua lelaki lain.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pada awalnya berlaku salah faham antara dua lelaki daripada dua kumpulan berkenaan.

“Dua lelaki sedang memarahi seorang lelaki daripada kumpulan lain menyebabkan berlaku kekecohan.

“Salah seorang rakan individu yang dimarahi cuba meleraikan ketegangan sebelum dia dimaki dan dimarahi,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, polis yang dimaklumkan mengenai kejadian tiba dan cuba meleraikan pergaduhan.

Beliau berkata, suspek masih berkeras dan menyerang polis menyebabkan lapan individu terbabit diberkas sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPDSPT) bagi tindakan lanjut.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 12:52 AM