AMINAH. FOTO Arkib NSTP
Murni Wan Omar


Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menetapkan 18 April ini untuk isteri Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis memfailkan jawapan pembelaan berhubung tuntutan harta sepencarian yang dikemukakannya.

Puan Sri Dr Kalsom Ismail diperintahkan memfailkan jawapan pembelaan terhadap jawapan balas empat anaknya dalam permohonan itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Peguam Syarie Nur Hidayah Abu Bakar yang mewakili ibu Jamaludin, Aminah Abdullah, 84, yang ditemui selepas sebutan semula kes itu dalam kamar Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Siti Zulaiha Mohamad Mansor.

Difahamkan, Kalsom, 63, memfailkan permohonan itu pada Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun tiada maklumat lanjut berhubung tuntutan harta sepencarian itu berikutan dokumen tidak diperoleh media.

Sementara itu, Nur Hidayah turut memaklumkan bahawa pada tarikh yang sama Kalsom diperintahkan mengemukakan bantahan awal berhubung permohonan Aminah mendapatkan sijil Faraid.

Kalsom diwakili peguam syarie Datuk Shamsuriah Sulaiman manakala empat anaknya diwakili peguam syarie Zuri Zabuddin Budiman.

Pada 2 Mac lalu, Aminah memfailkan permohonan untuk mendapatkan sijil faraid ke atas harta pusaka milik anaknya yang dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion mengikut Seksyen 46 (ix) Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Jamaludin terkorban dalam nahas helikopter di Kampung Sungai Pening, Semenyih, Selangor pada 4 April 2015.

Dalam kejadian jam 4.55 petang, helikopter AS365 Dauphin yang membawa enam penumpang itu dilaporkan meletup di udara sebelum terhempas kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 1:35 PM