Mohd Zani Che Din menunjukkan motosikal dan rangka motosika yang dirampas susulan penahanan dua remaja lelaki yang terbabit dalam beberapa kes curi motosikal.

POLIS yakin menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes curi motosikal di Petaling Jaya dan ibu kota dengan penangkapan dua remaja keciciran sekolah berusia 16 dan 17 tahun, 23 Februari lalu.

Mereka ditahan ketika sedang leka meleraikan sebuah motosikal yang dipercayai baharu dicuri di belakang sebuah sekolah agama dekat PJS 6/38B, Kampung Lindungan, Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, dalam serbuan itu pihaknya menemui 15 rangka motosikal dan pelbagai komponen motosikal yang dileraikan.

“Hasil risikan dan maklumat, Pasukan Lejang Balai Polis Sungai Way menahan dua lelaki di belakang sebuah sekolah agama dekat Kampung Lindungan. Semakan mendapati suspek berusia 16 dan 17 tahun dan tidak bersekolah.

“Turut ditemukan 15 rangka motosikal dan pelbagai alatan membuka komponen motosikal,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Sungai Way, hari ini.

Beliau berkata, suspek dipercayai aktif melakukan jenayah curi motosikal sejak tahun lalu.

“Semakan turut mendapati salah seorang suspek ini memiliki rekod jenayah dan dadah. Polis juga percaya suspek ini terbabit dalam enam kes di Sungai Way dan masing-masing satu kes di Jinjang serta Subang Jaya.

“Soal siasat juga mendapati komponen motosikal yang dilerai ini akan dijual kepada rakan mereka dan untuk kegunaan sendiri.

“Polis giat menjalankan operasi dalam usaha mengesan saki-baki suspek lain,” katanya suspek direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 3:52 PM