Gambar hiasan
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


SURUHANJAYA Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas berkaitan urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau, Negeri Sembilan Rabu ini.

Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, Mesyuarat Khas yang bertempat di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya akan dipengerusikan Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun.

“Ia akan membincangkan mengenai tarikh penting urusan PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian Awal, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu dan persiapan lain diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya berkenaan.

“Satu sidang media akan diadakan selepas Mesyuarat Khas berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 18 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan di sini, menolak rayuan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah tidak sah dan terbatal.

Calon PKR bagi DUN Rantau pada PRU-14, Dr S Streram merangkap Naib Ketua PKR Cabang Rembau memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad memenangi kerusi DUN Rantau.

Mohamad yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan menang kerusi itu tanpa bertanding pada PRU-14 selepas Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agos Suyub tidak membenarkan Dr Streram masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 5:09 PM