Cyril (dua dari kanan) menunjukkan rampasan dadah pada sesi sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini

POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah tempatan susulan penahanan 27 individu termasuk tiga warga asing dalam Op Tapis Bersepadu di sekitar Mersing pada 25 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, siri serbuan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Pasukan Polis Marin Wilayah Dua dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Mersing dalam tempoh 24 jam.

Katanya, hasil serbuan pihaknya menahan seramai 23 lelaki tempatan, tiga lelaki warga Laos dan seorang lelaki warga Thailand berusia antara 26 hingga 63 tahun.

“Dadah dipercayai heroin seberat 372.57 gram, 62.05 gram dadah jenis ganja, 19.93 gram syabu dan pil Erimin 5 turut dirampas membabitkan nilai keseluruhan dianggarkan RM8,000.

“Dua daripada yang ditahan dipercayai pengedar dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing, hari ini.

Cyril berkata, pihaknya percaya tangkapan ke atas pengedar dadah itu dapat melumpuhkan sindiket pengedaran dadah tempatan terutama di kawasan FELDA Tenggaroh, Kampung Pengkalan Batu, Kampung Sungai Muka Dua dan di kawasan Kampung Tanjung di Endau.

Katanya, operasi sama akan sentiasa diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras pengedaran dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 5:12 PM