Laporan portal Harian Metro polis menyelamatkan kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun dipercayai dikurung ibunya sejak Rabu lalu di sebuah rumah di Taman Hijrah, Kangar.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


KANAK-KANAK perempuan yang dikurung ibunya selama lima hari di rumahnya diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga siasatan selesai.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, kanak-kanak berusia tujuh tahun itu kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar sebagai prosedur JKM.

Menurutnya, mangsa itu diperiksa pakar kanak-kanak di Wad Pediatrik, HTF.

“Ibunya dibebaskan dengan jaminan polis, namun anaknya akan diletakkan di pusat jagaan Rumah Teduh, Kangar di bawah pengawasan JKM sementara menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya untuk dituduh nanti,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Portal Harian Metro hari ini melaporkan polis menyelamatkan kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun dipercayai dikurung ibunya sejak Rabu lalu di sebuah rumah di Taman Hijrah, Kangar, malam tadi.

Susulan itu, polis menahan seorang wanita berusia 31 tahun dipercayai ibu kanak-kanak terbabit di rumah berkenaan bagi membantu siasatan, pagi tadi.

Berita berkaitan

[UPDATE] Kanak-kanak dikurung menangis di tingkap

Sampai hati ibu...

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 7:29 PM