PATI warga Myanmar diberi makanan selepas ditahan ATM sebelum diserahkan kepada polis. FOTO Ihsan ATM
Noorazura Abdul Rahman


AKIBAT keletihan dan terlalu dahaga, seorang lelaki etnik Rohingya menyerah diri kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika dia menyeludup masuk ke negara ini di kawasan bukit laluan paip gas berhampiran Pos 5, Bukit Kayu Hitam, semalam.

Dia yang gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan sah itu antara lima pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 19 hingga 23 tahun ditahan anggota ATM.

Panglima 6 Briged, Brig Jen Datuk Abdul Aziz Ismail, berkata, lelaki itu menyerah diri kepada anggota ronda yang diketuai Pegawai Waran II, Shaharudin Izham 4.30 petang selepas keletihan berjalan.

Katanya, lelaki terbabit turut meminta air daripada anggota, namun dia ditahan selepas gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah selepas diberi minuman.

“Sementara itu, empat warga Myanmar cuba menyeludup masuk ke negara ini secara berasingan turut ditahan pasukan Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan (5RS) ketika melakukan rondaan.

“Pada 11.30 pagi rondaan di Pos 1 yang diketuai Koperal Mohamad Darus Abu Noh ternampak dua lelaki bersama seorang wanita yang sedang berjalan di kawasan ladang getah ke jalan utama Bukit Tangga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Aziz berkata, menyedari kehadiran kumpulan ronda, mereka cuba melarikan diri dan bersembunyi di dalam semak namun ditangkap.

“Selang setengah jam kemudian, kumpulan ronda yang diketuai Koperal Shahrul Nizam Husin menangkap seorang lelaki yang berjalan di kawasan ladang getah berhampiran Pos 3, juga cuba bersembunyi di dalam semak namun dapat ditahan.

“Beg, pakaian, barangan peribadi, wang tunai serta telefon bimbit yang dibawa semua PATI terbabit turut dirampas.

“Barang rampasan serta PATI terbabit kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 10:00 AM