MOHAMAD Fuzi Harun. FOTO Asyraf Hamzah
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS menerima 929 laporan dan membuka 16 kertas siasatan berhubung individu yang menghina agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah, sehingga hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, empat kes terbaru yang membabitkan empat individu sudah diambil tindakan dan tiga daripadanya sudah ditahan.

“Berhubung kes seorang pemilik akaun facebook yang menggunakan nama Bakakuk, suspek Mohd Shahrulnizam Stanley Sigan, 29 sudah ditahan polis Ahad lalu di Labuan dan kini direman sehingga 7 Mac ini.

“Sementara, pemilik akaun Facebook Ayea Yea yang mengeluarkan komen jelik terhadap Nabi Muhammad SAW, suspek dikenal pasti sebagai Alister Anak Cogia ditahan di Bau, Sarawak semalam dan direman sehingga 7 Mac ini,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata, polis juga sudah menahan pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Yazid Kong atau nama sebenarnya Mohd Yazid Kong Abdullah, 52 di Petaling Jaya semalam dan akan direman hari ini.

“Polis kini giat mengesan seorang pemilik akaun twitter yang menggunakan nama @alvinchow333 atau nama sebenarnya Alvin Chow Mun Fai yang mengeluarkan komen jelik terhadap Nabi Muhammad SAW.

“Suspek dipercayai berada di Kuala Lumpur dan usaha mengesan suspek kini sedang giat dijalankan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihati supaya tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi dengan memuat naik sebarang bentuk provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman.

“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Semua tangkapan disiasat mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 12:04 PM