HANNAH Yeoh (tengah) pada sidang media selepas perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2019. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


KEJADIAN kanak-kanak perempuan dikurung lima hari oleh ibu kandung di rumahnya di Taman Hijrah, Kangar, Perlis, disifatkan sebagai kes pengabaian.

Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana masih dalam siasatan polis,

Bagaimanapun, katanya kejadian itu jelas menunjukkan berlaku pengabaian terhadap kanak-kanak berkenaan.

“JKM sudah menyelamatkan kanak-kanak berkenaan dan mangsa kini di bawah jagaan JKM, selain kes ini masih di bawah siasatan polis.

“Jadi saya tak nak ulas mengenai siapa yang bersalah, tapi memang jelas ada kes kecuaian yang mana kanak-kanak diabaikan, itu yang kita boleh lihat berdasarkan berita dilaporkan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Sambutan Hari Wanita di IOI Mall di Kulai, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung.

Beliau berkata, kerajaan mempunyai akta kanak-kanak yang membolehkan tindakan diambil terhadap mereka yang melakukan pengabaian.

Sehubungan itu, Hannah berkata, beliau berharap pihak polis mempercepatkan siasatan kes berkenaan.

Pada masa sama, beliau turut memberi amaran supaya ibu bapa tidak melakukan pengabaian terhadap anak-anak kerana pihak berkuasa boleh mengambil tindakan mengikut akta ditetapkan.

“Jangan sesekali mengabaikan anak-anak, walaupun kita rasa boleh tinggalkan mereka untuk tempoh satu atau dua hari, tapi kalau kita lupa ia boleh menjadi kes kematian.

“Kita ada banyak kes yang mana mereka (ibu bapa) terlupa anak ada dan sekarang sudah tiba musim panas, orang dewasa pun tidak tahan, inikan pula anak-anak.

“Kita lihat banyak trend, mereka ke stesen minyak dan tinggalkan anak-anak, sedangkan dalam tempoh dua minit pun bahaya meninggalkan kanak-kanak bersendirian di dalam kereta,” katanya.

Harian Metro melaporkan, polis menyelamatkan kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, malam kelmarin dipercayai dikurung ibunya sejak Rabu lalu di rumahnya di Taman Hijrah, Perlis.

Susulan itu, polis menahan wanita berusia 31 tahun dipercayai ibu kanak-kanak terbabit di rumah berkenaan bagi membantu siasatan, semalam.

Berita berkaitan

[UPDATE] Kanak-kanak dikurung ibu dijaga JKM

'Mak cik, saya lapaq...'

[UPDATE] Kanak-kanak dikurung menangis di tingkap

Sampai hati ibu...

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 1:40 PM